Jumat, 20 Mei 2011

Doa Munajat..

wahai Allah
wahai zat yang maha agung kemuliaanya
dan sentiasa memiliki ketinggian
wahai penguasa khazanah yang tidak akan kehabisan
dan pencipta arashMu yang agung
wahai yang memiliki sifat yang sempurna dan menunaikan segala permintaan
jika Kau mengkehendaki maka dengan seklip mata pun Kau boleh mendatangkan taufan
yang mana lautan pun malu melihatnya
dan jika Kau mengkehendaki seluruh makhluk ini
Kau boleh tempatkan dalam tempat yang sebesar zarah dengan ucapan 'KUN'
sesuatu yang tiada Dikau boleh wujudkan
bagiMu tiada satu pun pekerjaan yang sukar Ya Allah
wahai Allah bersihkan dan hapuskanlah kekotoran zahir dan batin kami
dengan kesempurnaan, keampunanMu dan lautan kemaafanMu Ya Allah
kurniakanlah kepada kami dengan pakaian zuhud dan taqwa
mengkhidmati makhluk dan menuruti sunnah dengan bersih dan nyata
jadikanlah maksud kehidupan kami untuk meninggikan dan mengharumkan agama Muhammad S.A.W
jadikanlah kami sebagai mentari ilmu
dan Kau jadikanlah amalan amalan dan kebaikkan kami sempurna
yakni menjadi sumber hidayah kepada kami
dan orang orang yang bertaqwa juga
akan memilih jalan amalan soleh dengan sinar kecemerlangan
dan jadikanlah kami seumpama mata air yang mengairi Taman Islam di musim gugur sehingga ke hari kiamat
wahai Tuhan semesta alam
dalam kehidupan yang sesingkat ini undilah kerja kerja dari kami
perkara yang perlu dikerjakan disini
dan peliharalah kami Ya Allah dari perkara perkara yang tak perlu dikerjakan disini
bagi hari hari dalam kehidupan kami yang mana kami telah laluinya dengan lalai dan leka
jadikan sesuatu yang dapat mengganti kerugiannya wahai Allah
kurniakanlah kami dengan kecintaan terhadap iman dan hiaskanlah didalam hati kami
campakkan rasa takut dalam hati kami
terhadap kekufuran Ya Allah
terhadap dosa dan terhadap derhaka
dan jadikanlah kami orang orang yang memperolehi hidayah
dan hamba hamba yang bersyukur Ya Allah
supaya ketika waktu kami mati dan didalam kubur dan didalam hari kiamat nanti
kami bersuka cita dan gembira
dan Janatul Firdaus menjadi tempat kami Ya Allah
wahai Allah
jadikanlah kami segulung ilmu dan amal
dimana dihadapan taufan kekufuran dan kesyirikkan pun tidak dapat meruntuhkannya
dan ianya menjadi pukulan bagi menghapuskan segala bidaah Ya Allah
dan ambillah dari kami sebarang khidmat untuk membantu agama Muhammad S.A.W
yang akan menjadi sedekah yang berterusan dan menjadi sumber keselamatan di hari kiamat Ya Allah
wahai Allah
dan penuhilah ahli Janatul FirdausMu
dan tiadalah kekuatanku mengatasi api nerakaMu Ya Allah
dan berikanlah aku taufik untuk bertaubat
dan ampunilah dosa dosaku Ya Allah
ampunkanlah Ya Allah..
ampunkanlah Ya Allah..
kerana sesungguhnya Engkau maha pengampun dosa dosa besar Ya Allah
Ya Allah..
Ya Allah..













madah muqaddimah



Dunia Ini ibarat pentas lakonan,
Manusia itulah pengarah dan pelakonnya,
Al-Quran dan As-Sunnah itulah skripnya,
Malaikat itulah jurugambarnya,
Islam itu jalan ceritanya,
Kiamat itulah kesudahan pengambarannya,
Padang mahsyar tempat penganugerahannya,
Rasulullah S.A.W adalah penerima anugerah terbaiknya,
ALLAH S.W.T adalah hakimnya,
Syurga atau Neraka adalah trofinya









Allah tak lupa kita..

memandangkan hari ni aku kerja shift petang, sempat la nak update blog ni. now aku berpraktikal kat wad surgical female. makin hari makin banyak pengajaran dan pengalaman yang aku dapat belajar kat sini. sakit ni orang cakap lumrah kehidupan. nasib kita la kalau dapat penyakit itu ini. sakit jugak tak kenal usia. kadang kadang tu buat aku terfikir, mudanyalah budak ni nak dapat penyakit teruk macam ni. yelah, penyakit yang dia terima, tak padan dengan usia dia yang terlalu muda. ada yang sampai berhenti sekolah kerana penyakit yang dia hidapi. sepatutnya sekarang dia belajar kat sekolah, ambil exam. terdetik dalam hati, dunia ni tak adil ke? memang kita tak boleh menolak takdir.. tapi aku cuma kesian tengok keadaan mereka. sekeras keras hati aku pun, aku tetap ada sifat kemanusiaan. sedih dengan nasib mereka. sebab aku pun ada anak anak sedara yang meningkat remaja macam mereka.

wad aku tu memang melibatkan prosedur operation. moral support tu memang penting sangat diberi pada patient. sebab benda ni bukan main main.' ini soal hidup mati' kata anak patient kat aku. yup, aku dapat melihat kerisauan, kebimbangan, ketakutan dan kesedihan yang dilemparkan di wajah mereka saat ahli keluarga mereka di bawa ke operation room. hidup dan mati ni bukan kat tangan doktor yang lakukan prosedur.
tapi tu semua kerja Allah. mungkin satu hari nanti aku juga akan melalui saat saat macam mereka. mungkin aku juga akan mempunyai perasaan yang sama seperti mana perasaan mereka. semua tu tak mustahil bukan? itulah pentingnya meminta kepada Allah agar sentiasa diberi kekuatan dan ketabahan apabila berlaku musibah ke atas diri kita mahupun ahli keluarga kita. insyaAllah. 

aku rawat mereka seperti mana aku rawat family aku. aku anggap mereka semua macam family aku. dan semua benda yang kita buat akan jadi ikhlas, mudah dan tak kekok. mereka perempuan. aku juga perempuan. jadi naluri kami sama. so, bagi aku taklah sesukar mana nak rawat mereka. yang cerewet tu biasalah.. nama pun manusia. aku nak marah pun, dah memang kerja aku. so, buat jela kerja aku.. sabar. sifat ni jela yang menjadi benteng dalam hidup aku. kalau takde sifat sabar ni, dah lama kot aku lari balik johor. huhu takpe, niat aku baik. kerja aku halal. insyaAllah, takkan ada masalah. aku buat baik kat orang, satu hari nanti pasti orang akan buat baik kat aku. aku percaya itu. cepat atau lambat. itu semua atas kehendakNya..

setiap musibah yang menimpa diri kita, jangan ingat Allah benci kita. aggaplah ia satu anugerah yang tak ternilai. Allah beri kita musibah sebab Allah kasihkan kita. Allah sayangkan kita. Allah ingat kita. Allah nak kita sedar. Allah nak kita meminta kepadaNYa. Allah nak kita berdoa kepadanya. sebab tulah Allah turunkan musibah kepada kita. kalau Allah lupa kita, Allah takkan turunkan musibah kepada kita, Allah takkan hiraukan kita. tapi Allah bukan begitu. Dia sentiasa ingat hamba hambaNya. setiap manusia akan mendapat musibah. bila ? bagaimana ? dimana ? itu semua atas kehendakNya. 

aku bukan nak berceramah atau berdakwah. tapi sekadar nak berkongsi pengajaran. aku juga tak terkecuali dari menerima musibah dariNya. dengan itu, aku lebih mendekatkan diri kepada Allah. aku sentiasa dan cuba mencari peluang untuk beribadah. bagi aku, time aku belajar ni la, aku lebih berpeluang untuk beribadah. bila dah bekerja, dah sibuk dengan tugas, belum tentu aku dapat peluang sebegini rupa. nikmat Allah, perlu untuk aku manfaatkan sebaiknya. aku ingat pesan mak, aku ingat pesan ayah. aku takkan lupa tanggungjawab aku. aku akan jaga tingkahlaku. aku akan jalankan kewajipan aku . tak susah kalau kita buat. tapi susah kalau kita dah mula merungut dan menangguh nangguhkan.

cinta itu bermula dari HATI
andai HATI itu ikhlas
cinta yang terzahir akan terbina dengan kasih sayang dan ketulusan
untuk membina cinta itu
HATI perlulah disemai dan dibaja dengan benih mahmudah yang menjanjikan kebahagiaan dunia dan akhirat. 




















penangan ubat.

malam tadi baru aku rasa nikmatnya tido.. dah 3 minggu aku dapat penyakit insomnia.
smpai ada yang cakap better aku kena jumpea psychiatrist  la. ape la.. kadang kadang nak tergelak pun ada bila mintak pendapat orang ni.. sampai nak kena psyco bagai. haha kritikalnya la kes aku ni..aku siap call mak yang jauh jauh tu cakap pasal aku tak boleh tido.yelah, aku pun risau jugak sebab dah lama tak cukup tido. nanti kang dapat sakit lain kang lagi la susah..fikir punya fikir. haa!
aku teringat ubat ubat aku.

tablet prednisolone, hydroxyzin, loratadine, dan ketoconazole.

dengan berbesar hati dan penuh berharap, aku telan ubat ubat tu sume.
memang berhasil sangat. tak sedar bunyi alarm pagi tadi..huhu  Alhamdulillah..saat ni la yang aku nantikan setiap malam..maybe penangan exam week hari tu kot. yelah, mana taknye. aku tido lewat je tiap hari. sampai ada hari tu, aku tak tido langsung. malam malam aku hentam dua paket kopi pulak tu. mana tak mata aku ni celik 24jam. tu namanya mata aku ni bertindak ikut arahan. haha dan sampaikan aku tak bagi arahan pun dia celik jugak. haha 

bercakap pasal mata. mata aku ni dah mula rabun. nak tengok nama patient yang tampal kat wall pun aku dah tak nampak. nak kena pergi dekat dekat baru nampak. memang kena buat spect la ni ea ? ala.. sayangnya duit nak buat spect. tak nak. tak nak. mesti macam nenek nenek kan kalau muka aku pakai spect ? oh tidak. tapi kalau dah keturunan nenek, atok, ayah, mak, akak akak pakai spect, so aku pun tak terkecuali la kan ? redha jela alia. makan sayur banyak pun kalau dah tentu akan rabun, rabun jugak. ok. jangan cakap banyak.
kekalkan prestasi ye alia. itu sangat penting. :)

ok. aku tak suka nak membebel. tak suka cakap banyak.
( tapi kadang kadang aku yang over)
senyum alia.
senyum.

aku tamatkan bebelan aku dengan surah al asr.
sekian :)




    

terima kasih Ya Allah



kalau dia adalah yang terbaik untuk diri aku,
tunjukkanlah Ya Allah.
bukan kerana rupa dan harta yang aku megah megahkan.
tetapi,
kerana agamanya yang buat aku tertawan.

insyaAllah.


;)

cukuplah peringatan ini..

Selain nikmat iman dan islam yang merupakan anugerah Allah kepada hamba hambaNya, ada banyak lagi nikmat yang Allah limpahkan kepada kita sehingga kita tak mampu nak menghitungnya.

tak merasa keji ke bila tahu dirinya makhluk ciptaan Allah SWT, kemudian dia menderhakaiNya siang dan malam, pagi dan petang. seluruh nikmat yang Allah berikan, dihala ke arah maksiat semata mata. apalagi kalau pemberian nikmat itu digunakan untuk melakukan penzaliman dan penganiayaan sesama manusia.  ingat, bukan dengan suluhan ilmu akli dan nakli tidak boleh menerima sikap ini. bahkan hati kecil atau fitrah semulajadi pun akan menolak sekeras kerasnya.

andai kita merenung nikmat yang paling dekat dengan kita pun seperti tubuh badan dan pancaindera, percayalah, kita akan sedar dan insaf akan keterlanjuran dan keterbatasan perbuatan kita. pernah ke kita berfikir, apa yang banyak kita lakukan selama ni? kebaikan atau kejahatan? so, fikir fikirkan lah.. 

imbaulah detik dan usia kita yang berlalu pergi. apakah mata kita lihat dan saksikan ? apakah yang telinga kita dengarkan ?
ke arah mana dan destinasi manakah kaki kita melangkah ?
apakah  yang tagan kita ambil, pegang dan sentuh?  

sungguh, nikmat dan juga amanah Allah SWt banyak kita sia siakan. kita abaikan sewenang wenangnya. tak pernah rasa dosa sedikit pun ke? tak cukup lagi ke peringatan yang Allah berikan pada kita?


kalau sekadar segelas air sejuk yang diteguk pun akan ditanya, apatahlagi nikmat nyawa,  pancaindera,  keluarga, harta,  wang ringgit, pangkat, darjah kebesaran, ilmu, dan lain lain? 
terdayakah kita nak menjawab semua amanah yang dipertanggungjawabkan itu?



jawapan ada pada diri kita sendiri. 

Kamis, 19 Mei 2011

kopi. best friend forever~~


Anda peminat kopi? Bagi penggemar kopi, seperti kurang lengkap untuk memulakan hari tanpa menikmati secawan kopi. Apatah lagi dengan kebanjiran pelbagai jenama kopi segera (3 in 1) di pasaran. Bukak sacet, tuang dalam cawan, tuang air panas dan siap. Dari kopi biasa, kopi putih, hinggalah kepada kopi yang diadukkan dengan tongkat ali, kacip fatimah, ginseng, kolagen dan pelbagai jenis ramuan lagi. Saya sendiri tergolong dari kalangan penggemar kopi. Kalau dari kategori kopi segera, dah macam-macam jenama pernah dicuba. Dari Ipoh White Coffee yang ada macam-macam brand sampailah kepada yang tesco packaging semua pun saya belasah, janji kopi. Tidak dapat dinafikan, kopi banyak berjasa terutamanya kepada golongan yang terpaksa berjaga malam. Tak kiralah apa jua tujuan anda berjaga sama ada study, layan bola, bekerja, mahupun beribadat, pasti ramai yang manjadikan kopi sebagai teman jaganya. Walaupun kekadang ada yang seakan kalis kopi, minum kopi 3 cawan pun, bila tengok buku untuk study tetap mengantuk dan tertidur. Apapun jika anda perlu bangun di awal pagi untuk bekerja atau bersekolah, maka elakkan minum kopi di waktu malam. Jika tak terkebil-kebillah mata menunggu datangnya aura mengantuk yang dah dihilangkan dek secawan kopi. Dan esoknya muncullah efek lingkaran gelap mengelilingi mata.

Kafein yang merupakan ramuan utama dalam kopi dikatakan mampu merangsang sistem saraf utama dan ianya telah lama digunakan sebagai ubat pelega sakit, pengawal selera, penghindar rasa mengantuk dan sebagai rawatan untuk merawat demam dan semput.
Bagaimanapun, kajian menunjukkan bahawa kopi juga kaya dengan antioksidan yang merupakan  bahan yang mengurangkan kesan-kesan bahan bahaya dalam diri manusia dan dapat melawan beberapa jenis penyakit. Oksigen yang bercampur dengan kimia-kimia lain menjadi partikel terangsang (charged particles) yang dipanggil radikal bebas yang merosakkan sel-sel dan tisu dalam badan kita. Dengan adanya antioksidan, terhindarlah kerosakan seperti ini melalui pembentukan radikal bebas. Radikal bebas boleh menjadi penyumbang utama kepada beberapa penyakit seperti penyakit jantung, barah dan katarak mata serta kemerosotan sistem saraf dan daya ketahanan.
Kopi juga dikatakan mengandungi empat kali lebih tinggi kadar antioksidan berbanding teh. Walaubagaimanapun, kajian ini masih lagi berterusan dan ianya tidak bermakna kita boleh meminum bercawan-cawan kopi dalam sehari. Cukuplah secawan sehari untuk menyegarkan hari. Bak kata orang putih “less is more”… more might be terrible 

Doa


Tidak kira sama ada doa itu dalam keadaan terdesak atau semata-mata menunaikan kewajipan, setiap doa pasti Allah beri perhatian. Allah berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kepada-Ku nescaya aku (Allah) akan perkenankan.” (Surah Ghafir : 60 )
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Tuhanmu yang Maha Suci lagi Maha Tinggi itu pemalu lagi mulia. Dia malu terhadap hamba-hamba-Nya yang mengangkat tangan berdoa, tiba-tiba tidak diberi oleh-Nya akan permintaan itu.” (Riwayat al-Tirmizi no. 3556 dan Abu Daud no. 1448)
Lihat betapa hebatnya sifat Pemurah dan Pengasih Allah, Dia bukan sahaja memerintahkan kita berdoa, malah Dia mengajar apa yang patut kita doakan dan bagaimanakah caranya kita harus berdoa. Tidak cukup sekadar itu, Allah berjanji untuk mempertimbangkan doa-doa itu. Sebuah syair mengungkapkan hakikat ini dengan begitu indah sekali:
“Allah s.w.t. murka jika engkau tidak memohon kepada-Nya.
Sebaliknya manusia murka apabila kau sering minta kepadanya.”
Berdoa itu satu langkah yang produktif. Bahkan menurut pandangan ulama tasawuf, apabila Allah telah ringankan lidah seseorang hamba-Nya untuk berdoa, itu petanda Allah telah memberi lampu hijau untuk memperkenankan doa itu. Kata Imam Ibn Ataillah: “Tatkala Allah membukakan mulut anda dengan bermohon kepada-Nya maka ketahuilah, sesungguhnya Allah berkehendakkan doa anda diperkenankan.”
Yakinlah bahawa apabila Allah mengilhamkan kepada hati kita untuk berdoa, maka sudah tentu Allah akan memperkenankan doa kita itu. Tetapi jika Allah tidak berkehendak memperkenankan sesuatu doa, maka sudah tentu Dia tidak mengilhamkan kepada hati kita ke arah itu.
Bukan mudah bagi seorang hamba Allah mengerakkan hati dan lidahnya untuk berdoa jika tidak kerana taufik dan hidayah Allah. Apabila hati dilembutkan untuk berdoa, bererti seseorang itu telah berasa kefakirannya di hadapan Allah. Apabila kita sudah benar-benar berhajat kepada-Nya, maka Allah pasti tidak akan mengecewakan hajat kita itu.
Sebenarnya doa itu sendiri merupakan satu kurnia daripada Allah. Malah doa itu adalah modal asas yang memungkinkan seseorang itu menerima kurnia-kurnia Allah selanjutnya. Malangnya, orang yang mengetahui hakikat ini tidak ramai dalam kalangan kita. Firman Allah yang bermaksud:
“Apakah ada siapakah yang memperkenankan doa orang yang dalam kesulitan apabila dia berdoa, dan menghilangkan keburukan dan menjadikan kamu sebagai khalifah di bumi? Apakah ada di samping Allah tuhan yang lain? Terlalu amat sedikit apa yang dapat kamu mengingati.” (Surah al-Naml 27: 62)
Hamba Allah yang benar-benar mengenal Allah (arif billah) dapat rasakan apabila seseorang itu diizinkan Allah untuk mengucapkan doa (ada sesetengah orang dikelukan lidah lalu tidak boleh berdoa) adalah lebih berharga daripada termakbulnya doa itu. Hal ini kerana seorang yang berdoa itu hakikatnya sedang berdialog dengan Allah. Bagi mereka, ini adalah satu anugerah Allah yang lebih bernilai berbanding apa yang diperoleh daripada doanya. Bukankah Pemberi hadiah itu lebih patut kita hormati dan kasihi daripada hadiah yang diberikan-Nya?
Mungkin ada yang bertanya apakah benar Allah akan memperkenankan setiap doa hamba-hamba-Nya? Jawabnya, ya jika apa yang kita ajukan itu doa yang benar dan elok. Dalam hadis Rasulullah s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa antara kamu yang dibukakan pintu hatinya supaya berdoa, nescaya Allah bukakan padanya pintu-pintu rahmat. Dan tidak ada doa yang dipohon itu yang lebih disukai Allah selain daripada memohon kemaafan (keselamatan di dunia dan akhirat).” (Riwayat al-Tarmizi no 3548)
Jelas di sini, doa yang dimaksudkan itu mempunyai ciri-cirinya. Antara ciri-ciri doa yang baik ialah isinya mestilah ke arah memohon kemaafan dosa dan kesalahan terhadap Allah. Rentetan daripada itu mereka pasti berdoa akan keselamatan diri dan orang lain, bukan permusuhan dan kekacauan). Dan yang paling penting, berdoa dalam keadaan merendah diri dan penuh harapan.
Oleh sebab itu, janganlah berdoa dalam keadaan terlalu mendesak dan memaksa Allah. Itu bukan sifat seorang hamba yang baik. Untuk mengatasi sikap ini tanamkanlah ke dalam jiwa satu keyakinan bahawa nikmat yang telah Allah berikan adalah lebih banyak dan lebih bernilai daripada apa yang sedang kita minta dalam doa kita itu.
Cara Allah Makbulkan Doa
Bagaimanakah cara Allah memakbulkan doa hamba-hamba-Nya? Ini memerlukan penjelasan yang tersirat dan maknawi. Sesungguhnya akal kita yang terbatas tidak akan dapat menjangkau ilmu Allah yang Maha Luas. Fahaman kita tentang makbulnya sesuatu doa mungkin hanya mampu menyingkap selapis daripada kenyataan itu, tetapi di sisi Allah punyai makna dan tafsiran yang berlapis-lapis.
Untuk menyingkap rahsia itulah Rasulullah s.a.w. telah bersabda yang bermaksud: “Tidaklah seorang yang berdoa kepada Allah dengan doa kecuali Allah akan memberikan kepadanya, sama ada dengan dikabulkan segera di dunia lagi. Atau disimpankan untuknya kebaikan di akhirat atau ditutupkan (kifarat) dosanya setakat doanya selama dia tidak doakan unsur-unsur dosa, memutuskan silaturahim atau mohon disegerakan. Maka sahabat berkata: “Ya Rasulullah bagaimana doa minta segera itu? Baginda berkata; seseorang itu berdoa, aku berdoa tuhanku, maka perkenanlah segera.” (kata Abu Isa hadis ini gharib, sunan Al-Tarmizi, 3968)
Melalui hadis ini para ulama telah merumuskan bahawa doa itu dikabulkan menerusi pelbagai kaedah dan keadaan. Antaranya termasuk:
1. Doa Itu Dikabulkan Serta-Merta
Kebanyakan doa yang diajukan oleh para rasul dan nabi dikabulkan serta-merta. Doa Rasulullah s.a.w. menjelang perang Badar misalnya, dikabulkan oleh Allah serta-merta. Begitu juga doa Ibn Abbas r.a. ketika meminta hujan semasa umat Islam dilanda kemarau yang dahsyat. Belum pun sempat Ibn Abbas meletakkan tangannya ke bawah, hujan telah turun mencurah-curah.
Begitulah juga dengan cerita bagaimana tiga orang pemuda yang berdoa dengan wasilah amal masing-masing apabila terperangkap dalam sebuah gua seperti yang diberitakan dalam sebuah hadis yang panjang lagi masyhur. Pintu gua itu tergerak (membuka ruang) serta-merta setiap kali salah orang mereka selesai berdoa. Inilah bukti jaminan Allah melalui firman-nya yang bermaksud: “Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu mengenai Aku, maka beritahulah mereka sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir kepada mereka. Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepada-Ku.” (Surah al-Baqarah 2: 186)
2. Dikabulkan pada Waktu Lain
Acap kali juga sesuatu doa walaupun baik, dan datang daripada orang yang baik, pada waktu yang baik, tetapi Allah tangguhkan ke waktu lain. Hal ini kerana Allah sayangkan hamba-Nya itu. Allah sengaja berbuat demikian bagi mengujinya sehingga seorang hamba itu bersedia untuk menerima nikmat-nikmat-Nya. Misalnya, Allah kurniakan kekayaan apabila hati seorang hamba telah ada rasa syukur kerana memberikannya sebelum itu akan menjadikan seseorang itu kufur. Allah kurniakan kekuasaan setelah ada dalam hati seseorang ada rasa tawaduk dan sifat adil, supaya dia boleh menjadi pemerintah yang baik apabila sudah berkuasa.
Jika tidak bersedia, dibimbangkan nikmat itu boleh bertukar menjadi bala. Itulah yang disebut “istidraj” – yakni pemberian Allah yang merupakan satu kutukan dan memudaratkan untuk iman dan Islam seseorang yang derhaka kepada-Nya. Oleh sebab itu, sering kali juga Allah menahan pemberian-Nya kerana kasih sayang-Nya terhadap seseorang. Inilah yang dinukilkan oleh Prof Dr. K.H. Muhibbuddin Waly dalam bukunya Hakikat Hikmah Tauhid dan Tasawuf: “Sebab kadang-kadang Allah memperlambat dalam memperkenankan doa mereka kerana Allah sangat sayang dan cinta mendengar suara doa yang selalu diucapkan oleh hamba-Nya itu kepada-Nya.”
3. Menghindarkan Bahaya
Doa kita kadang-kadang dikabulkan Allah dengan dihindarkan daripada bahaya yang mungkin datang. Kita tidak tahu apa bahaya yang ada di hadapan, lalu Allah datangkan halangan. Boleh jadi kita akan ditimpa penyakit yang kronik, mengalami kemalangan jalan raya, difitnah atau sebagainya. Namun dengan doa yang kita panjatkan kepada Allah, Allah selamatkan kita sebagai ganti apa yang didoakan.
Hakikat ini sangat sulit untuk difahami kerana ditunaikan tanpa sedar. Mengapa? Yalah, kita minta yang lain, tetapi Allah berikan sesuatu yang lain. Namun yang lain itu lebih besar dan bernilai ertinya berbanding apa yang kita minta. Misalnya, kita minta kejayaan dalam perniagaan, sebaliknya Allah hindarkan kita daripada penyakit-penyakit kronik. Bukankah itu sesuatu yang lebih baik?
Ingatlah apa yang Allah tegaskan menerusi firman-Nya yang bermaksud: “Difardukan kamu peperangan padahal kamu membencinya, boleh jadi ada yang kamu benci baik untuk kamu, dan boleh jadi apa yang kamu sukai tetapi itu mungkin membawa mudarat bagi kamu. Allah lebih mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Surah al Baqarah 2: 216)
4. Allah Berikan Sesuatu yang Lebih Baik di Akhirat
Hidup di dunia cuma sementara. Akhirat itu yang lebih baik dan lebih kekal. Firman Allah, mafhumnya: “Dan akhirat lebih baik dan kekal.” (Surah al-A‘la 87: 17) Beruntunglah jika kita mendapat sesuatu kurnia di akhirat berbanding kurnia di dunia ini.
Sebagai perbandingan, sehelai rumput di syurga adalah lebih baik daripada sebutir mutiara di dunia. Kenapa? Kerana rumput di syurga itu lebih kekal berbanding sebutir mutiara di dunia. Itu baru sehelai rumput, bayangkan sebutir mutiara di syurga. Ia sesungguhnya, bukan sahaja lebih kekal malah lebih bernilai daripada sebutir mutiara di dunia.
Orang yang berdoa dan doanya tidak dikabulkan di dunia, akan dikabulkan doa itu di akhirat kelak, insya-Allah. Doa yang dikabulkan di akhirat itu sesungguhnya lebih baik dan kekal daripada dikabulkan di dunia lagi. Kadang-kadang Allah menahan kekayaan yang kita pinta di dunia kerana Allah hendak memberikan kita kekayaan di akhirat. Kekayaan di akhirat bererti syurga.
Menyedari hakikat ini, seharusnya kita tidak akan jemu berdoa dan tidak akan berputus asa hanya kerana doa kita belum ataupun tidak dikabulkan di dunia. Kita tahu doa itu akan menjadi “saham akhirat”. Oleh sebab itu, keyakinan kepada hari akhirat sangat penting ketika kita berdoa di dunia ini. Bagi orang yang yakin akan kehidupan di akhirat, mereka akan terus-terusan berdoa sekalipun doa mereka seolah-olah tidak dikabulkan di dunia ini.
Banyak doa-doa yang diajarkan oleh Allah kepada kita, manfaatnya untuk hari akhirat. Doa minta dimatikan dengan iman, masuk ke dalam syurga dengan iman, terhindar daripada api neraka, minta dibangkitkan dalam keadaan bersama-sama orang yang membuat kebaikan dan jangan ditempatkan bersama-sama orang yang zalim. Misalnya, Allah menganjurkan kita berdoa dengan doa ini: “Ya tuhan kami, berilah keampunan bagiku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang Mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat).” (Surah Ibrahim 14: 41)
5. Dijadikan Kifarat kepada Dosa-Dosa
Manusia sentiasa berdosa kepada Allah sama ada yang disengajakan atau tidak disengajakan. Dosa adalah pendinding untuk kita mendapat bantuan, keampunan dan kasih sayang Allah. Kita mengharapkan dosa itu diampunkan dengan taubat. Dan untuk itu kita diwajibkan untuk bertaubat atas dosa-dosa yang kita sedari.
Namun, apakah jaminan taubat kita telah diterima sekalipun telah menempuh syarat-syaratnya? Dan bagaimana pula dosa yang kita lakukan tanpa kita sedari? Itu lebih sukar diatasi. Mana mungkin kita bertaubat atas dosa-dosa yang kita rasa kita tidak melakukannya? Maka di sinilah peranan doa-doa yang kita panjatkan kepada Allah s.w.t. Doa-doa itu menjadi sebab untuk dosa-dosa kita itu diampunkan walaupun bukan itu yang kita pohon daripada Allah s.w.t.
Orang yang berdoa kepada Allah, sentiasa disayangi-Nya. Tanda sayang Allah kepadanya ialah mengampunkan dosa-dosa orang itu walaupun dia tidak meminta ampun. Inilah kehebatan dan kebesaran sifat al-Afu (Yang Maha Pemaaf) dan al-Ghaffar (Yang Maha Mengampuni) Allah s.w.t. Salah satunya ialah Dia mengampunkan dosa-dosa hamba-Nya walaupun hamba yang berdoa itu tidak meminta ampun.
ADAB BERDOA
Walau bagaimanapun doa yang dipanjatkan masih tetap ada adab dan syarat-syaratnya. Selain adab-adab lahiriah, seperti menghadap kiblat, berwuduk (lihat adab-adab berdoa seperti yang dinyatakan), ada lagi adab batin (soal hati) yang lebih utama dilaksanakan. Antaranya termasuk:
i) Berdoa dengan penuh keyakinan
Hendaklah berdoa dengan penuh keyakinan bahawa doa itu akan dikabulkan. Jangan ada rasa ragu, syak dan waham (waswas) waktu berdoa kerana Allah tidak akan mengabulkan doa orang yang dalam hatinya berbolak-balik antara percaya dan tidak akan doanya diperkenankan. Jadi, sangka baik (husn zan) terhadap Allah itu penting apabila kita berdoa.
Bagaimana membina keyakinan dalam doa? Tentulah ini bersumberkan keyakinan kita kepada Allah s.w.t. Oleh sebab itu, kita terlebih dahulu mestilah mengenali sifat-sifat dan asma’ (nama-nama) Allah s.w.t.
Antara sifat Allah ialah al-Rahman, al-Rahim, al-Wahhab, al-Ghani, al-Razzaq, al-Afu, al-Ghaffar, al-Salam dan lain-lain lagi, pasti akan timbul keyakinan semasa berdoa. Apabila sudah kenal sifatnya, barulah kita boleh memohon kepada Allah dengan penuh yakin. Sebagai contoh yang paling mudah, apabila kita yakin seseorang itu pemurah, tentu kita yakin bahawa dia akan melayan permintaan kita. Apabila kita yakin seseorang itu kaya-raya, maka kita yakin dia mampu memberikan apa yang kita minta.
Oleh sebab itu, kita dianjurkan berdoa dengan menggunakan Asma’ al-Husna (nama-nama Allah yang baik) mengikut keperluan doa itu. Firman Allah yang bermaksud:
“Dan Allah mempunyai nama-nama yang baik (yang mulia), maka serulah dan berdoalah kepada-Nya dengan menyebut nama-nama itu.” (Surah al-A‘raf 7: 180)
Satu cara lain untuk menambah keyakinan kita dalam berdoa adalah iringilah doa itu dengan usaha dan persediaan yang baik. Keyakinan juga dibina oleh persiapan. Apabila kita berdoa minta kesihatan, usaha dan persediaan kita juga selaras ke arah itu, maka keyakinan diri kita akan meningkat. Ya, doa yang digandingkan dengan usaha akan meningkatkan lagi tahap harapan dan harapan yang tinggi itulah yang akan membuahkan keyakinan.
ii) Jangan Berdoa Sesuatu yang Membawa Permusuhan dan Dosa
Doa yang buruk hakikatnya bukan doa. Doa yang berpaksikan permusuhan tidak akan dimakbulkan Allah. Oleh sebab itu berhati-hatilah agar tidak berdoa dengan hati yang kotor. Jangan kita ajukan kepada Allah sesuatu yang berbentuk dosa dan kefasiqan. Doa hanyalah untuk yang baik-baik dan dengan tujuan yang baik-baik pula.
Begitu juga berdoa untuk menang dalam pertaruhan (judi), berjaya dalam pertandingan yang dalamnya ada perbuatan mendedahkan aurat dan pergaulan bebas, kaya dengan perniagaan yang berunsur riba, berkuasa melalui kaedah yang kotor dan fitnah serta lain-lain bentuk kemungkaran yang seumpamanya adalah dilarang dan tidak akan dikabulkan. Kita juga tidak dibolehkan mendoakan sesuatu yang boleh memutuskan ikatan silaturahim sesama Islam.
iii) Jangan Berdoa Tanpa Bertahmid dan Berselawat
Ulama ada menjelaskan bahawa sesuatu doa itu tidak akan dikabulkan tanpa bertahmid (memuji) kepada Allah dan berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w. Kedua-dua faktor ini sangat penting untuk melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. Tanpa rasa syukur, sukar doa kita itu didengari dan seterusnya diperkenankan oleh Allah s.w.t.
Bayangkan jika seseorang meminta tambahan atas nikmat yang sedia ada, dia mestilah menunjukkan rasa berterima kasih atas nikmat yang telah diberikan itu terlebih dahulu. Rasa syukur itulah yang akan menggamit turunnya nikmat yang baru. Firman Allah yang bermaksud: “Jika kamu bersyukur nescaya kami akan tambahkan nikmat-nikmat Kami. Dan sebaliknya jika kamu kufur, azab Allah amat pedih.” (Surah Ibrahim 14: 7)
Dengan bertahmid, kita menyatakan syukur kepada Allah. Dengan berselawat kita mengucapkan terima kasih kepada insan yang paling banyak berjasa kepada kita yakni Nabi Muhammad s.a.w. Hanya setelah bersyukur, Allah yang bersifat al-Wahhab (Maha Pemberi) akan menambahkan lagi nikmat-nikmat-Nya. Benarlah seperti yang dinyatakan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak bersyukur dengan yang sedikit, tidak akan bersyukur dengan yang banyak.”
Itulah tiga sebab mengapa doa terhijab. Dalam konteks yang sama, apa yang dinyatakan oleh Ibrahim bin Adham (seorang ahli tasawuf) tentang punca-punca doa terhijab sangat perlu dijadikan renungan. Namun, walau apapun keadaan kita, sama ada dalam keadaan taat atau derhaka, dalam keadaan senang ataupun susah, doa mesti terus dipanjatkan. Makbul atau tidak itu soal kedua. Yang paling utama adalah jangan sekali-kali berputus asa untuk terus berdoa kepada Allah s.w.t.
Dan jangan sekali lupa, apa yang telah Allah berikan kepada kita sebenarnya lebih banyak daripada apa yang sedang kita minta (doa)