Kebahagian  seseorang bergantung kepada cara dia menerima apa yang didatangkan  Allah kepada-Nya. Sekiranya dia sedar bahawa apa jua yang didatangkan di  dalam kehidupannya baik suka ataupun duka adalah tidak lain dan tidak  bukan datangnya daripada Allah maka dia akan merasa bahagia tidak kira  waktu dia susah ataupun senang. Hatinya akan sentiasa aman, bahagia dan  tenteram.
Kerana,  setiap yang didatangkan oleh Allah semuanya mempunyai tujuan yang  baik-baik belaka. Dan tidak ada suatu apapun yang dijadikan oleh Allah  s.w.t itu sia-sia. Maka dia akan sedar bahawa setiap yang datang  kepadanya mempunyai hikmah yang membuatkan dirinya semakin dekat dengan  Allah. Kerana, apabila datang duka hampa dia bersabar dan apabila datang  senang lapang dia bersyukur.
Kadangkala  manusia seringkali meletakkan kebergantungannya kepada manusia. Apabila  bersahabat, dia kecewa dan gundah gulana apabila tidak dapat menerima  kasih sayang yang diharapkan. Dan seringkali menyalahkan sahabatnya  kerana tidak memahami dirinya. Ingatlah bahawa sahabat juga punyai  kelemahan. Apabila kebergantungan itu diletakkan pada manusia yang lemah  yang tiada kekuasaan sedikit pun maka dia akan kecewa apabila kelemahan  itu datang kepadanya. Oleh itu, mengapa tidak bergantung kepada  kekuasaan Allah s.w.t.?
Rakan-rakan yang dikasihi sekalian,
Berukhwahlah  kerana Allah kerana apabila sahabat muram, membuatkan kita sabar dan  muhasabah diri, apa tindak-tanduk yang menyebabkan sahabat mula  berjauhan dengan kita dan kita mula mempertingkatkan diri. Apabila  sahabat senyum membuatkan kita bersyukur kepada Allah dan semakin kuat  amal ibadah kita kepada-Nya serta berdoa agar dikekalkan ukhwah ini. 
Lihatlah,  apabila bersahabat kerana Allah, apa jua tingkah laku sahabat  membuatkan dia semakin dekat kepada-Nya. Sebab itulah seringkali  diceritakan bahawa sahabat yang soleh, apabila melihatnya, berbicara  dengannya, bergurau senda dengannya, tinggal bersamanya, membuatkan diri  kita semakin dekat dengan Allah. 
berukhwah  adalah antara contoh yang mudah dan banyak lagi contoh yang boleh  diambil. Seperti hubungan suami isteri kerana Allah; apabila suka dia  akan berlemah lembut dan apabila tidak suka dia akan bersabar dan tidak  akan menyakiti pasangan. Begitu juga dengan berorganisasi kerana Allah,  jika pendapatnya dia diterima dia bersyukur kepada Allah s.w.t., dan  apabila pendapatnya ditolak dia akan bersabar dan berlapang dada.
Rakan-rakan yang dirahmati Allah sekalian,
Ingatlah  bahawa kebergantungan hanyasanya kepada Allah s.w.t. sangat penting  dalam setiap amal di dunia ini kerana apabila melakukan sesuatu dengan  berorientasikan Allah s.w.t. maka apabila datang kegagalan kita tidak  akan kecewa malah bersabar, dan apabila datang kejayaan kita tidak akan  sombong malah bersyukur. Itulah, biar datang apa jua keadaan dia akan  semakin dekat dengan Allah kerana dia faham bahawa apa jua yang  didatangkan oleh Allah, semuanya baik-baik belaka, tiada yang sia-sia  dan dia juga sangat yakin dengan janji-janji Allah s.w.t.
 
Tidak ada komentar:
Posting Komentar